BUMI MAHSYAR DIBANJIRI KERINGAT AHLI MAKSIAT
Apabila seluruh manusia serentak dibangkitkan dari alam kubur, di padang mahsyar yang luas, masing-masing dalam keadaan semula jadi, seperti bayi yang baru lahir tanpa pakaian walau seurat benang. Apakah mereka tidak merasa malu dalam keadaan tubuh dan juga kehormatan masing-masing terdedah kepada pandangan umum, lelaki dan wanita bercampur aduk dan bersesak-sesak.
Siti Saodah isteri Nabi ketika mendengar peristiwa dahsyat suasana manusia dibangkitkan di bumi Mahsyar, lantas beliau bertanya kepada Nabi SAW : “Ya, Rasullulah, tidakkah manusia merasa malu apabila mereka dihimpunkan di bumi Mahsyar dalam keadaan telanjang bulat tanpa pakaian?” Jawap Rasullullah S.A.W : “Justeru dalam keadaan terlalu gawat menghadapi hari mahsyar itu, manusia terlupa dirinya tidak berpakaian kerana memikirkan bagaimana hendak menyelamatkan diri masing-masing”. Lalu Rasulullah S.A.W. membacakan firman Allah didalam surah ‘Abasa ayat 37 : Yang bermaksud :
“Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya”
Imam Al-Ghazali ketika mengulas mengenai suasana hari kebangkitan itu menyatakan “Alangkah dahsyatnya apabila kita berdepan dengan hari yang seluruh aurat kita terdedah, walaupun terdedah namun manusia tidak ambil peduli lagi kerana manusia ketika itu dibangkitkan di bumi Mahsyar dengan pelbagai cara, ada yang berjalan dengan perutnya dan ada pula yang berdiri dengan mukanya terbalik ke bawah dan kakinya di atas”. Abu Hurairah berkata bahawa beliau telah mendengar suatu hari Rasulullah S.A.W perpidato di hadapan para sahabat dengan sabdanya yang bermaksud: "“Bahawa manusia di akhirat kelak akan dikumpul dalam tiga bentuk. Sekumpulan manusia sebaik sahaja dibangkitkan di bumi Mahsyar sudah tersedia kenderaan untuk mereka sementara sekumpulan lagi dibangkitkan dengan berjalan kaki, sementara yang satu kumpulan lagi manusia berjalan dengan mukanya tertonggeng ke tanah.
Seorang dari sahabat bertanya kepada Nabi S.A.W “Bagaimanakah caranya manusia berjalan dengan menonggeng mukanya ke tanah?” Maka Nabi S.A.W menjawab :
“Allah SWT yang berkuasa mencipta hamba-Nya berjalan dengan kaki dan Allah jua yang berkuasa menciptakan hamba-Nya berjalan dengan mukanya ke tanah”.
Mereka yang mendapat naungan itu di antaranya ialah golongan Al-Muqarrabun iaitu orang yang diperdekatkan dengan Allah SWT. Sifat-sifat golongan ini tidak lain ialah mereka yang semasa hidup di dunia sentiasa mendampingi Allah SWT. Damping dalam erti kata sentiasa patuh serta taat suruhan Allah dengan melakukan apa-apa jua perintahNya yang disampaikan oleh para Rasul di zaman mereka serta menjauhkan dan meninggalkan setiap perkara yang dibenci oleh Allah dari perkara maksiat yang keji dan mungkar sama ada dalam soal aqidah dan juga syariah.
Seterusnya Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa ada golongan yang dijemput oleh Allah SWT untuk bernaung di bawah Arasy Allah sebaliknya ada pula golongan manusia yang terus didera terdedah dengan kepanasan matahari di atas ubun-ubun. Mereka yg didera dengan kepanasan itu hancur luluh oleh panahan cahaya matahari yang amat dahsyat dan dileburkan pula oleh kepanasan hati mereka sendiri yang mengutuk dirinya kerana menghadapi hari malang disebabkan kelalaian mereka semasa hidup didunia dahulu.
Dalam kepanasan yang amat dahsyat itu manusia berhimpit-himpit dan bertolak-tolak kerana mereka berada dalam satu padang yang luas tetapi tetap sempit dan berhimpit-himpit. Dalam suasana demikian tiba-tiba Allah SWT dedahkan segala buruk mereka yang telah dicatit dalam satu rekod kejahatan dihimpun dalam sistem rakaman Allah yang tidak tercicir walau sedikitpun, maka alangkah tebal muka mereka kerana menanggung malu yang tidak terhingga.
Hancur luluh manusia dengan kepanasan matahari, kepuasan hati menanggung malu yang tak terperi. Peluh mengalir dari tubuh manusia sehingga bumi Mahsyar dilanda banjir peluh yang berbau hanyir dan bumi Mahsyar menjadi lecah. Banjir peluh dan airmata menengelami manusia tetapi menurut kadar dosa masing-masing. Ada yang sampai ke paras lutut, paras pinggang, paras hidung dan tidak kurang juga yang karam di dalam lautan peluh dan air mata.
Di dunia ini pun kita akan temui adanya makhluk yang diciptakan oleh Allah berjalan dengan perut iaitu ular walaupun ular tidak memiliki kaki tetapi ada kalanya ia berlari sangat pantas sehingga sukar hendak ditangkap walaupun yang mengejar itu ialah manusia yang mempunyai kaki. Kata Imam Al-Ghazali, sesungguhnya manusia sering mengingkari sesuatu yang tidak pernah disaksikannya, oleh itu mereka akan mempersoal bagaimana manusia berjalan dengan mukanya ke bumi. Sekiranya makhluk ular itu tidak wujud didunia ini, tiba-tiba ada orang berkata bahawa di kampungnya ada makhluk berjalan dengan perutnya, ketika itu tentulah orang akan mencemuh dan mustahil mereka boleh menerima kebenaran berita itu.
Wal hasil alam akhirat adalah suatu alam yang di luar jangkauan manusia, sekalipun dia pernah mendengar tentang kehidupan di Mahsyar, namun setelah dia sendiri berada di sana, kenyataan sebenarnya tidak dapat diukur dengan logik akal. Betapa dahsyatnya alam Mahsyar tidak terbayang oleh manusia walaupun dengan ilmu yang dimiliki.
Bumi mahsyar yang keluasannya tidak terukur oleh jangkauan manusia, walaupun luas dataran Mahsyar tidak terhingga, namun tidak ada kawasan yang kosong melainkan penuh sesak dengan manusia dan jin. Seseunguhnya makhluk Allah terdiri dari manusia dan jin sejak Nabi Adam hingga kiamat jumlahnya juga tidak terhitung, apatah lagi ia dibangkitkan serentak.
Dalam suasana kelam-kabut dan hiruk-pikuk, tiba-tiba Allah SWT menerbitkan semula matahari dengan kepanasan luar biasa, berlipatganda berbanding kepanasan matahari yang pernah dinikmati manusia di dunia. Bukan sekadar kepanasan berlipatganda tetapi Allah SWT turunkan matahari serendah-rendahnya di atas kepala manusia kira-kira ukuran dua busar panah. Ketika itu tidak ada pohon untuk berlindung dari panas matahari yang berada di atas kepala kecuali bayangan Arasy. Arasy itu disebut juga sebagai kursi atau singahsana. Sebesar manakah Arasy itu maka sebesar itulah bayang redup yang bernaung di bawah naungan Arasy itu.
Di dunia, keringat mengalir adalah kesan bekerja kuat, malah dalam melaksanakan ibadah seperti ibadah haji. Lihatlah ketika umat Islam melakukan ibadah haji dalam cuaca panas dan bersesak-sesak di bumi Makkah dan Arafah. Demi keimanan dan ketaatan terhadap perintah Allah, maka orang-orang yang beriman sanggup menghabiskan wang ringgit bersusah payah mengerjakan ibadat haji. Sudah pasti keringat yang mengalir dan pengorbanannya itu tidak percuma di sisi Allah.
Orang-orang yang berjuang mendaulatkan agama islam di bumi ini sudah pasti mengalirkan keringat di samping membelanjakan wang ringgit yang banyak. Berjihad siang dan malam atas urusan jamaah Islam bagi memenangkan cita-cita Islam yang suci agar hukum Allah tertegak di muka bumi. Pasti mereka mendapat penghargaan Allah.
Bagi mereka yang telah mengalirkan keringat melakukan ketaatan terhadap perintah Allah SWT, maka di bumi mahsyar mereka tidak lagi mengalirkan keringat seolah-olah mereka telah kekeringan keringat di dunia di atas usaha yang diredhai Allah. Segala kepayahan yang dilakukan atas nama keimanan dan ketaatan kesemuanya akan menjadi sebab mereka aman dari bahaya tengelam dalam lautan peluh dan air mata di dataran Mahsyar kelak.
No comments:
Post a Comment