PARA RASUL DAN SEKALIAN UMAT AKAN DISOAL
Tiada sesiapapun yang terkecuali dari kebangkitan kedua di dataran Mashyar, suatu episod kehidupan yang tidak akan berakhir dengan kematian. Samada mereka percaya dengan saat Qiamat yang menggerunkan itu, atau tidak beriman dan melupakannya, namun qiamat tidak pernah melupakan mereka dan pasti menjelang tiba.
Ada golongan manusia yang merasai bahang qiamat begitu hampir, malah dalam peristiwa Israk Mikraj Rasulullah S.A.W telah diperlihatkan dunia ini bagai manusia yang bongkok kerana terlalu tua, dan Nabi juga menyifatkan bahawa hari Qiamat itu hanya sejarak dua hari. Para sahabat Nabi sering dibayangi saat Qiamat , setiap kali berlaku perkara yang menggerunkan seperti ribut kencang seolah-olah qiamat telah tiba.
Orang-orang mukmin menghadapi saat Qiamat dengan segala persiapan, melakukan ketaatan seluruh perintah Allah serta menjauhi segala yang fashyak dan mungkar. Baginya kehidupan di dunia terlalu singkat, dalam waktu yang terbatas itu digunakan sepenuhnya untuk menyediakan bekalan bagi menghindar dari muflis di akhirat.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; “Apakah kamu tahu siapakah yg muflis? Mereka menjawab ; yang muflis di kalangan kami ialah orang yang tiada wang dan harta. Maka sabda Rasulullah S.A.W “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari qiamat dengan pahala solatnya, puasanya, dan zakatnya, tetapi dia datang dengan dosa memaki orang lain, menuduh orang lain, memakan harta orang lain, (dengan cara yang batal) menumpahkan darah orang lain dan memukul orang lain dengan cara yang tidak sebenar, lalu diberi kepada yang ini (orang yang dilakukan segala dosa) daripada segala kebajikannya, dan yang ini pun diberi dari pahala kebajikannya juga, sehingga habislah pahala kebajikannya sedangkan dosanya kepada orang lain belum dibayar maka diambil pula dosa-dosa orang lain dan dicampakkan ke atasnya, kemudian dia dicampakkan pula ke dalam neraka.”
Walaupun orang itu ke akhirat dengan berbekalkan pahala, tetapi sayang mereka juga turut berbekalkan dosa-dosa kerana menganiayai orang lain, seperti yang dijelaskan dalam hadis Nabi seperti disebut di atas itu. Akibatnya segala pahala yang dibawanya habis semua untuk membayar segala hal yang bersangkutan dengan orang lain, akhirnya jadilah mereka orang yang benar-benar muflis.
Sementara Imam Al-Ghazali pula menyeru kepada manusia dengan seruan ”Wahai sang miskin“ adapun miskin yang dimaksudkan oleh Imam Al-Ghazali ialah orang–orang yang miskin ilmu, samada ilmu akhirat atau ilmu yang membawa kepada peningkatan iman iaitu agama (ulumiddin). Orang yang miskin harta tidak kekal berkemungkinan dia akan menjadi orang kaya suatu ketika . Tetapi miskin ilmu ibarat orang yang berjalan dalam gelap tanpa obor di tangan, maka sesatlah padahnya.
Kata Imam Al-Ghazali “Wahai orang yang miskin, cuba anda fikir tentang soalan yang akan ditujukan kepadamu oleh Allah SWT secara berdepan tanpa sebarang juru penterjemah. Kamu akan disoal oleh Allah dengan pertanyaan yang banyak atau sedikit walaupun perkara yang sekecil kulit padi”.
Yang dimaksudkan perbicaraan tanpa jurubahasa bererti bahawa dalam mahkamah Allah di akhirat kelak, Allah SWT sendiri akan menjadi pendakwaraya yang membacakan setiap dakwaan tanpa melalui pihak kedua (malaikat). Allah SWT bertindak menjadi hakim yang mengadili setiap perbicaraan dengan soalan yang terperinci sehingga perkara yang terlalu kecil pun tidak akan terlepas .Terlalu cermat mahkamah Allah di akhirat itu, sehingga tidak ada keraguan atau kezaliman terhadap keputusan yang diterima oleh setiap orang yang terdakwa.
Sementara menunggu kes seseorang untuk disebut di mahkamah akhirat itu, sudah pasti begitu banyak masa yang terpaksa menunggu giliran, setelah berada tiga ratus tahun melaui tempoh manusia dibiarkan oleh Allah SWT di dataran Mashyar iaitu suatu keadaan yang menjadi tanda tanya di kalangan ahli Mashyar, seolah-olah mereka berada dalam tempoh tahanan sementara menunggu perbicaraan.
Di saat manusia bermandi peluh bahana dosa yang menimbun ,dan berenang di lautan airmata kerana penyesalan, maka turunlah para malaikat dengan tubuh yang besar raksasa, masing-masing membawa waran tangkap dengan pandangan mata yang menggerunkan memerhati siapa yang ditentukan dibicarakan dahulu, maka para malaikat itu cekup kepala orang-orang yang banyak dosa untuk dicampakkan ke tengah mahkamah akhirat tempat berlangsungnya perbicaraan tersebut.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;’Adapun malaikat yang datang di hari qiamat itu, ukuran jaraknya antara dua kelopak matanya ialah perjalanan seratus tahun”.
Jika jarak antara kelopak mata malaikat ibarat perjalanan seratus tahun, adakah dapat dibayangkan sebesar mana pula kepala malaikat itu, sukarlah hendak dibayangkan setinggi mana pula tubuh badannya. Demikianlah Allah SWT menjadi Raja pada hari itu.
Para malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT kepada penghuni Mashyar dengan tugas-tugas rasmi untuk mencekup manusia dan dilontarkan ke sebuah dataran untuk dipertunjukkan segala amalan mereka samada yang baik mahupun keji.
Apabila turun segala malaikat itu dari segenap penjuru, maka tidak ada yang terkecuali walau seorang nabi, seorang siddiq, seorang soleh, dan seorang wali melainkan kesemuanya tersungkur sangat takut dan bimbang kalau diri mereka yang akan ditunjukkan oleh malaikat tersebut dan seterus bakal dicelup oleh para malaikat tersebut. Padahal para rasul, anbiya dan juga auliya adalah golongan kekasih Allah, namun mereka pun tetap merasa bimbang dan gerun di hari itu.
Para nabi, siddiqin, solihin dan auliya, mereka adalah golongan muqarrabun iaitu golongan yang amat berdamping rapat dengan tuhan. Jika mereka pun tersungkur jatuh, maka bagaimanakah pula halnya dengan golongan mujrimin iaitu golongan yang derhaka dan kalangan ahli maksiat dan kafir? Bolehkah anda bayangkan sendiri betapa keadaan mereka ketika itu?…………………..
No comments:
Post a Comment