Monday, October 25, 2010

KISAH PENGAJARAN EMPAT

NERAKA BERSEDIA MEMBAHAM MANGSANYA

Apabila Allah SWT memulakan sesi soal-jawab terhadap penghuni Mashyar, seluruh manusia dilanda cemas menghadapi saat yang menggerunkan itu, hatta para nabi juga turut gelisah kerana mereka bukan sekadar mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan keluarga, malah mereka mempunyai tanggungjawab yang berat  iaitu terhadap umatnya.
Golongan pertama yang menerima soalan Allah SWT ialah kalangan nabi-nabi dan rasul, soalan itu berkisar tentang reaksi umat mereka terhadap seruan para nabi dan rasul yang diutus oleh Allah, adakah mereka menerima dengan baik ajaran Allah yang disampaikan itu, ataupun mereka enggan menerimanya.
Di dataran Mashyar itu para nabi merasa turut kebingungan, meskipun soalan yang dikemukakan oleh Allah SWT itu bukanlah suatu soalan yang sukar hendak dijawab, kerana para nabi pun tahu bahawa memang seruan para nabi mendapat sambutan di kalangan umatnya, walaupun ada kalanya lebih ramai pula yang menentangnya.
Para nabi dan rasul menjawab “Kami tidak tahu wahai Tuhan, sesungguhnya engkaulah yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.” Mengapakah para nabi dan rasul menjawab demikian? Tidak lain kerana huru-hara di padang Mashyar yang sangat dahsyat itu menyebabkan para nabi berada dalam kebingungan.
Justeru jawapan nabi itu adalah jawapan yang sebenar kerana apabila ia terserempak dengan peristiwa yang maha dahsyat  di Mahsyar yang tidak  pernah  ditempuhnya sebelum ini, ketika itu jadi lemah segala akal dan tidak berfungsi pula seluruh ilmu yang dimilikinya.
Di kalangan nabi yang mula-mula dipanggil oleh Allah SWT ialah Nabi Nuh ’Alaihissalam, lalu Allah SWT bertanya kepadanya yang bermaksud: Ketika itu ada golongan manusia lantaran terlalu gerun takut dan ngeri yang amat sangat, melihat rombongan malaikat yang terlalu besar dengan susuk badan yang luar biasa, antaranya ada yang bertanya kepada malaikat: ”Adakah di dalam kumpulan kamu itu terdapat Tuhan di sana?  Dengan pertanyaan itu para malaikat itu terkejut dan rasa marah di atas pertanyaan manusia yang jahil itu. 
Para malaikat itu menjawab:’’ Bahawa  janganlah kamu menyangka begitu kerana apa yang kamu saksikan itu baru sekadar kumpulan besar dari kalangan malaikat sahaja.  Tuhan akan datang tidak lama lagi.  Kemudian seluruh malaikat yang raksasa itu berdiri melingkungi lautan manusia di dataran itu, ketika itu perasaan manusia semakin tertekan kerana terlalu cemas.  Maka tibalah saatnya bahawa Tuhan akan menyoal sekalian manusia yang telah diutuskan kepada mereka para rasul, sebagaimana; 

Firman  Allah dalam surah al-A’raaf ayat 6-7 ..Yang bermaksud:“ Maka sesungguhnya Kami  akan menyoal sekalian umat yang telah diutus rasul-rasul kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan menanyai (pula) rasul-rasul (kami).”“ Maka sesungguhnya akan Kami khabarkan kepada mereka (apa-apa yang telah mereka perbuat,) sedang (Kami) mengetahui (keadaan mereka), dan Kami sekali-kali tidak jauh (dari mereka).”

Manusia akan disoal sama ada telah sampai nabi yang diutus kepada mereka atau perkhabaran dan ajaran nabi kepada mereka, tidakkah para nabi yang diutuskan itu menyampaikan wahyu Allah yang mengandungi ajaran lengkap, serta perkhabaran tentang hari akhirat tempat segala amal akan dihitung?

Dan para nabi juga apakah mereka telah menyampaikan semua wahyu Allah kepada umat manusia.  Justeru di hari soalan itu dikemukakan, tidak seorang pun yang terlepas darinya.
“Adakah sudah kamu sampaikan ajaran-Ku kepada umatmu? Maka dijawab oleh Nabi Nuh A.S: Ya, sesungguhnya telah aku sampaikan dengan segala upayaku sebagaimana yang Engkau ketahui wahai Tuhan.”
Nabi Nuh A.S di antara nabi yang diberi usia yang panjang iaitu kira-kira 950 tahun, meskipun beliau mempunyai kesempatan masa yang panjang bagi menyampaikan seruan Islam, namun terlalu sedikit yang menerima seruannya untuk beriman dengan Allah jika dibandingkan dengan masa yang begitu panjang.  Apa yang mendukacitakan Nabi Nuh ialah apakala anaknya sendiri menolak seruannya, dan memilih untuk berada di kalangan orang-orang yang menentang Nabi Nuh A.S.  Kemudian Tuhan berpaling pula kepada kaum Nabi Nuh dan mengemukakan pertanyaan kepada mereka:  Adakah kamu sekalian mendengar dan menerima seruan dan ajaran Nabi Nuh seorang nabi yang aku utus kepadamu?
“Kami tidak ingat lagi sama ada Nabi Nuh datang menyampaikan seruan atau tidak.”  Umat Nabi Nuh cuba berdalih dengan mengatakan mereka tidak ingat kedatangan utusan Allah itu. Padahal ketika Nabi Nuh menyeru mereka, kebanyakan mereka menyumbatkan anak-anak jari ke lubang telinga masing-masing kerana enggan mendengar seruan Nabi Nuh,sebagaimana yang dijelaskan oleh Firman Allah di dalam surah Nuh ayat 7….yang bermaksud “Dan sesungguhnya setiap kali (Nuh) menyeru mereka  (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka , mereka memasukkan anak-anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (kemukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan terlalu menyombongkan diri”
Setelah itu Allah SWT memanggil pula Nabi Isa a.s dan mengemukakan soalan kepadanya:  “Adakah engkau mengajar supaya engkau dan ibu engkau dianggap sebagai tuhan oleh umat engkau?”
Sesungguhnya Alllah SWT tidak pernah meragui tugas berat yang telah disampaikan oleh Rasul-Nya, tetap Allah SWT kemukakan soalan itu kepada Nabi Isa kerana dia dilahirkan dalam suasana yang luar biasa, hanya mempunyai ibu tanpa bapa.  Keadaan demikian menyebabkan timbul tuduhan dari kalangan orang-orang jahat Bani Israel, mereka melontarkan tuduhan terhadap Maryam, menurutnya Maryam telah berlaku curang sehingga melahirkan anak tanpa bapa. 

Sementara di kalangan orang-orang Nasrani yang terlalu mendewakannya, sehingga menganggap Isa sebagai tuhan (anak tuhan).  Ini membawa kejadian Isa itu atas perintah Allah supaya Malaikat Jibril membawa dan memasukkan ‘roh’ (ciptaan) Allah ke dalam tubuh Maryam sehingga Maryam hamil dan melahirkan Isa.

Pendewaan pengikut Kristian telah membawa kepada kesesatan, kerana mereka terlalu ekstrem sehingga menganggap Allah sebagai ‘tuhan bapa’, Maryam sebagai ‘tuhan ibu’dan Isa  a.s sebagai ‘tuhan anak’.  Sementara penghinaan kaum Bani Israel terhadap Isa Bin Maryam telah membawa tindakan liar merancang hendak membunuh dan mensalibkan Nabi Isa a.s kerana Isa dituduh sebagai anak yang dilahirkan dari kecurangan Maryam.

Semua tanggapan dan tuduhan itu sesat belaka, meskipun Allah SWT menurunkan wahyu melalui kitab ‘Injil’, namun tangan-tangan jahat paderi Nasrani telah merubah wahyu Allah, melenyapkan ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa ,dan memasukkan anasir fahaman syiri’ ke dalam Injil yang telah dipalsukan demi kepentingan mereka.

Justeru Nabi Isa adalah seorang Rasul Allah sudah pasti dia membawa ajaran tauhid yang mengEsakan Allah SWT, ajaran tauhid yang dibawanya itu menyebabkan dia menghadapi ancaman maut dikepung untuk dibunuh dan disalib. Namun apabila Allah SWT mengemukakan soalan tersebut, Nabi Isa menjadi kebingungan untuk menjawab.  Hendak mengaku tidak tetapi umatnya yang mengaku sebagai kaum Kristian seluruhnya menganggap Isa sebagai tuhan, sedangkan Allah Maha Mengetahui bahawa Isa tidak mengajar umatnya menjadi syiri’.

Seorang rasul seperti Nabi Isa itupun menghadapi dilema Mashyar untuk menjawab pertanyaan Allah SWT, betapa pula sebagai insan biasa sudah pasti lebih sulit dan sukar hendak dibayangkan.

Imam al-Ghazali menjelaskan  di dalam kitabnya, bahawa selepas sesi soalan terhadap para nabi selesai, dan sebelum Allah SWT memulakan soalannya kepada sekalian manusia, Mashyar menjadi terang benderang oleh sinaran cahaya ‘Arasy’ sebagai tanda bahawa sesi soal jawab dan soal siasat akan bermula terhadap ahli Mashyar.

Setiap orang di kalangan ahli Mashyar merasa yakin bahawa Tuhan sedang memerhatikan mereka, masing-masing terasa seolah-olah Tuhan tidak memandang yang lain. Kecuali sedang memfokus terhadap mereka. Memang demikian kedudukan orang yang bersalah sering diburu perasaan bimbang sebagaimana pepatah mengatakan “takut kerana salah”.

Sebagai persiapan untuk sesi soal jawab itu, Allah SWT telah memerintahkan malaikat Jibril supaya usung Neraka dan dekatkan dengan mahkamah Mashyar yang tidak lama lagi akan memulakan sidangnya.

Ketika mereka diusung oleh Jibril ke sisi mahkamah Tuhan lalu Allah SWT bertanya kepada mereka: ”Wahai Neraka , tahukah engkau aku ini siapa?” Ketika itu kawah Neraka mula menggelegak dengan api yang menjulang mengeluarkan bunyi yang menggerunkan. Neraka sudah sedia untuk membaham mangsanya dan ia mengenali siapakah yang bakal menjadi mangsanya.

Deru Neraka yang sedang mengeluarkan bunyi yang dashyat, menyebabkan manusia tersungkur ketakutan, masing-masing mengeluh menyesali  perbuatan yang lalu, menyumpah diri sendiri kerana dilalaikan oleh pengaruh nafsu jahat, sehingga lupa terhadap seruan nabi dan para rasul yang mengajak mereka supaya dapat menyelamatkan diri dari bahaya akhirat.
Manusia di Mahsyar ada yang umpama minyak petrol dan ada pula umpama air, orang-orang yang berdosa ibarat minyak petrol mudah terbakar, sementara orang-orang mukmin yang soleh umpama air yang tidak mungkin dijilat api walaupun dia diletakkan dekat dengan api. 
Lantaran itu golongan mukminn dan solehin tidak merasa bimbang sekalipun Neraka telah didekatkan, sebaliknya golongan mujrimin atau ahli maksiat sentiasa ketakutan kerana dirinya bagai minyak yang mudah terbakar.

No comments:

Post a Comment