Monday, October 25, 2010

KISAH PENGAJARAN LIMA

UNTUK PASTIKAN KEMULIAAN MANUSIA BERTERUSAN

Sesungguhnya  Allah Ta’ala tidak sekali-kali hendak menghina manusia di dataran Mashyar dengan sejuta kesengsaraan, kecuali apabila manusia melupakan kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah semasa hidup di dunia dahulu, Tuhan juga tidak berhasrat untuk melepaskan kemarahan-Nya seperti yang berlaku dihari Mashyar, kecuali apabila manusia melupakan kasih sayang–Nya semasa di dunia dahulu.

Allah Ta’ala memperjelaskan tentang kemuliaan yang telah dikurniakan kepada anak-anak Adam sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Isra ayat 70:..yang bermaksud…

“Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak (keturunan) Adam, Kami angkut mereka di dataran dan lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”. 

Dijelaskan juga sifat kasih sayang Allah dengan firman-Nya didalam hadith qudsi yang berbunyi:..yang bermaksud….

“Bahawa kasih sayang-Ku mengatasi kemarahan-Ku”.

Telah terbukti kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya iaitu Allah SWT memberikan ganjaran pahala sepuluh ganda (malah ada yang seratus kali ganda dan juga hingga tujuh ratus kali ganda) bagi satu kebajikan yang dilakukan oleh seorang mukmin, sebaliknya Allah SWT hanya memberikan satu dosa kepada satu kejahatan yang dilakukan oleh seseorang itu.  Ini bererti jika jumlah kebaikan dan kejahatan yang dilakukan itu sama, namun jumlah ganjaran pahala tetap mengatasi jumlah dosa.
Firman Allah SWT  didalam surah al-Baqarah ayat 261….yang bermaksud…..
Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai; terdapat seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Tuhan sengaja  menggandakan setiap kebaikan yang dilakukan oleh manusia sehingga tujuh ratus kali ganda semata-mata kerana Tuhan menghendaki agar manusia merasai betapa kasih sayang–Nya tetap mendahului kemarahan-Nya, bagi memberi peluang agar manusia tidak menghadapi kesengsaraan di hari Mashyar.

Lantaran itu Allah SWT meminimakan dosa manusia  bagi satu kesalahan hanya berbalas satu dosa (kecuali dosa syiri’), inilah bukti bahawa Allah SWT telah menyediakan formula yang terbaik, supaya manusia akan sentiasa berat timbangan amal kebajikannya, agar terhindar dari kemurkaan Allah di akhirat kelak.

Apabila di Mashyar didapati manusia timbangan dosanya lebih berat dari pahala, terbukti bahawa mereka telah mensia-siakan anugerah kasih sayang Allah yang tidak terhingga itu. Di Mashyar manusia tidak boleh menyalahkan orang lain, sebaliknya mereka terpaksa menyalahkan diri sendiri atas kecuaian itu. Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 22; yang bermaksud……….. 

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang membersihkan diri”. 

Manusia meskipun telah dikurniakan akal, namun keupayaan akal yang terbatas tidak mampu menyingkap dengan mendalam rahsia ketuhanan. Oleh yang demikian, Tuhan dengan rahmat-Nya telah menghantar para rasul yang membawa syariat Allah berteraskan aqidah tauhid, bagi menyelamatkan manusia dari terjerumus ke lembah syiri’ dan bertuhankan nafsu.  Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 119;..yang bermaksud………

Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (Muhammad) dengan kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan…….

Dalam susunan ayat itu Allah menyatakan berita gembira terlebih dahulu, kemudiannya  barulah peringatan yang menggerunkan.  Ini bererti bahawa Allah menghendaki manusia merasa bahagia dengan kehadiran Rasulullah S.A.W yang membawa ajaran yang menyelamatkan manusia, tetapi sekiranya manusia tidak acuh terhadap Utusan Allah, sudah pasti dia akan melakukan perkara-perkara yang membawa kepada dosa.  Oleh yang demikian, kehadiran Utusan Allah itu pasti akan memberikan peringatan atau khabar yang menakutkan, bahawa yang setimpal akan dirasai oleh golongan engkar ini.
Allah SWT memuliakan manusia dengan mengutus nabi dan para rasul yang ditugaskan membawa ajaran kebenaran, kerana akal semata-mata tidak menjadikan manusia mulia tanpa bimbingan wahyu. Dengan itu manusia dianjurkan agar beriman dan mengikuti ajaran yang benar itu., supaya manusia dapat mengekalkan kemuliaan hingga ke akhirat, untuk menikmati balasan gembira dengan penuh kebahagiaan di dalam Syurga, dan terlepas dari menerima kehinaan dengan menerima azab Neraka di akhirat kelak seperti yang dikehendaki oleh para rasul itu. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud….
 “Demi diriku yg berada didalam genggaman-Nya sesungguhnya di akhirat kelak Allah SWT akan menemui setiap orang dan bertanya kepada mereka ; Bukankah Aku telah memuliakan kamu? Dan Aku telah mengurniakan pasangan hidup kamu? Dan telah Aku kerahkan semua benda, tumbuh-tumbuhan dan binatang untuk menjadi kemudahan kamu? Kemudian manusia ketika itu berkata ;Bahkan sesungguhnya aku mengaku wahai Tuhan .Kemudian Tuhan bertanya lagi; Adakah kamu pernah terfikir bahawa kamu akan bertemu Aku dihari Mashyar ini? Dan manusia mengaku ;Tidak wahai Tuhan ,sesungguhnya aku tidak pernah berfikir untuk bertemu Engkau.Kemudian Tuhan berfirman ; “Pada hari ini Aku akan melupakan kamu sebagaimana kamu melupakan Aku dahulu
Hadith tersebut membayangkan bahawa Allah SWT telah menyediakan segala keperluan yang secukupnya untuk menjadikan manusia mampu menjaga taraf kemuliaan, justeru itu manusia ditanya semula oleh Allah; Tidakkah kamu telah dimuliakan?  Justeru manusia tidak dapat menafikan soalan tersebut, lantas mereka mengakuinya.  Kerana para rasul telah dihantar kepada mereka untuk mengajar mereka tentang perkara yang mereka tidak ketahui.

Malah Allah SWT telah mengangkat di kalangan manusia para pemimpin dan para pembesar kau bagi menjaga kepentingan mereka di dunia, manusia tidak dibiarkan tanpa pemimpin seperti anak-anak ayam kehilangan ibunya.  Manusia tidak pernah dilupakan oleh Pencipta-Nya, tetapi mereka telah melupakan segala anugerah Allah yang amat berharga itu.

Tuhan menjadikan planet bumi suatu tempat yang paling nyaman bagi kehidupan manusia, dilengkapi dengan matahari sebagai pelita alam serta udara segar, dan juga bulan bintang untuk pedoman dan perhitungan hari.  Ditambah pula dengan kekayaan hasil galian, seperti minyak, uranium, emas, besi, bijih timah, intan berlian, dan sebagainya.  Kesemuanya merupakan bahan penting untuk survival hidup manusia, bagi menghasilkan bahan-bahan ciptaan melalui penciptaan peralatan canggih untuk kepentingan hidup.

Selain itu bumi merupakan tanah subur untuk pertanian, binatang ternakan, dan segala macam haiwan boleh dimanfaatkan, lautan yang kaya dengan sumber makanan berkhasiat, dan juga kaya dengan kemudahan pengangkutan untuk pengagihan rezeki bagi kesenangan hidup manusia.

Betapa pemurahnya kurniaan Allah yang meliputi keperluan rohani iaitu anugerah ilmu berasaskan wahyu yang dengannya bukan sahaja ia dapat membezakan dengan haiwan yang lain, malah dengan ilmu tersebut dapat mengangkat manusia ke tingkat yang tertinggi berbanding makhluk ciptaan Allah yang lainnya.  Yang paling bernilai ialah ilmu berasaskan wahyu itu menjadi asas membina ketaqwaan yang tinggi, supaya hasilnya akan dikecapi oleh manusia di dalam Syurga kelak.

Tetapi apabila anugerah Allah itu dipersia-siakan oleh manusia, sehingga manusia lupa hari pertemuannya dengan Allah SWT, maka akibatnya bahawa Allah SWT akan melupakan manusia di hari  Mahsyar, dan membiarkan manusia dilanda kesengsaraan yang sangat dashyat.

No comments:

Post a Comment