Wednesday, November 10, 2010

TAZKIRAH AN NUR 7

Soalan Nabi (9):

"Hai Iblis! Bagaimanakah sekelian sahabatku kepada engkau?"

Jawab Iblis:

"Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah sebesar-besar seteru bagi hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata bahawa, "Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk." Saidina Abu Bakar as-Siddiq sebelum bersama-sama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya, inikan pula setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan hingga dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mentua tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyyidatina Aisyah yang juga banyak menghafaz hadis tuan.

Saidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apatah lagi tuan telah mengatakan, "Jikalau adanya nabi sesudah aku maka Umar boleh menggantikan aku", kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar 'Al-Faruq'.

Saidina Usman Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak malaikat datang melawat dan memberi hormat kepadanya kerana malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan, "Barang siapa menulis Bismillahir Rahmanir Rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati
syahid."

Saidina Ali Abi Talib pun itu hamba sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat bersopan dan ‘alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka terbakarlah kedua-dua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menundukkan kepalanya kepada sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu'-dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata, "Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya.” Tambahan pula dia menjadi menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya."

No comments:

Post a Comment